UNIT PENERANGAN
KOLEJ KOMUNITI BENTONG
BULAN OGOS
TAHUN 2011
Disediakan oleh:
Pegawai Penerangan
Unit Penerangan
Kolej Komuniti Bentong
MEMPAGA - Kolej Komuniti Bentong dengan kerjasama Puspanita Daerah Bentong, Perkim Daerah Bentong, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Bentong, dan Puspanita Cawangan Kecil Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (Puspanita JPKK) telah mengadakan program Ihya' Ramadhan 2011 sempena meraikan Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat orang Asli di Kampung Pareh. Turut dijemput peserta program realiti Imam Muda Musim ke-2, Imam Muda Taufek atau nama sebenarnya Mohd Taufek Bin Mohd Noh yang didatangkan khas dari Kajang, Selangor.
Objektif program ini ialah bagi melahirkan ikatan kerjasama di antara pihak penganjur iaitu Kolej Komuniti Bentong, Puspanita Daerah Bentong, Perkim Daerah Bentong, JAKOA Bentong, dan Puspanita JPKK.
Dalam pada itu ia juga bertujuan untuk mengeratkan ukhwah di antara pihak penganjur dengan komuniti orang asli, memberi peluang kepada pelajar Kolej Komuniti Bentong untuk beramah mesra dengan komuniti orang Asli, seterusnya menikmati keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadhan al-Mbarak melalui aktiviti berbuka puasa.
Program dimulakan dengan aktiviti Ziarah Ramadhan dari rumah ke rumah orang Asli di sekitar Kampung Pareh bertujuan untuk mengajak masyarakat orang Asli supaya menyertai program berbuka puasa ini sebagai tetamu jemputan.
Kemudian majlis seterusnya diteruskan dengan memperdengarkan Bacaan Doa dan Slot Tazkirah yang akan disampaikan oleh Imam Muda Taufek.
Berdasarkan ucapan alu-aluan Imam Taufek, beliau berasa amat bersyukur kerana dapat juga hadir ke Kampung Pareh ini walaupun jadual padat dan akan cuba merealisasikan permintaan sesiapa sahaja yang memerlukan khidmatnya.
"Alhamdulillah, bersyukur sangat saya kepada Allah, walaupun jadual saya agak padat, saya amat terharu kerana dijemput untuk hadir ke majlis berbuka puasa di Kampugn Pareh ini yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Bentong dengan kerjasama beberapa pihak lain, dan saya akan cuba menunaikan undangan pihak penganjur atau sesiapa sahaja yang menjemput saya demi mengikuti program yang penuh bermakna ini", tegas Taufek.
Katanya umat Islam perlu berpuasa dan merasai nikmat puasa moga-moga puasa kali ini tidak menjadi sia-sia.
Program Ihya' Ramadhan ini dirasmikan oleh Pengarah Kolej Komuniti Bentong, Zaidi Zakaria. Beliau walaubagaimana pun berkata, "Penganjuran program ini adalah sangat baik selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan amalan berbuka puasa secara berjemaah".
Zaidi juga menegaskan bahawa program berbuka puasa kali ini boleh dijadikan platform untuk mengeratkan ikatan persaudaraan dengan masyarakat orang Asli dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar Kolej Komuniti Bentong yang hadir untuk beramah-mesra dengan masyarakat orang Asli.
"Saya turut melihat program ini sebagai satu platform untuk mengeratkan ikatan ukhwah dengan komuniti orang Asli disamping memberi peluang kepada pelajar Kolej Komuniti Bentong untuk saling beramah-mesra dengan mereka".
"Objektif kita tidak akan tercapai sekiranya orang Asli yang hadir tidak ramai. Jika kehadiran ramai, program Ihya' Ramadhan ini boleh menjadi program tahunan untuk tahun-tahun yang akan datang", tambah Zaidi lagi.
"Gabungan antara Agensi-agensi Kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dapat memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat orang Asli khususnya dalam merangka program yang melibatkan bajet yang besar. Dalam masa yang sama, Kolej Komuniti Bentong mengambil peluang ini untuk memperkenalkan Program Latihan 1 Malaysia dan Sijil Modular Kebangsaan (SMK) kepada masyarkat yang hadir", tegas Zaidi.
Selepas acara perasmian, majlis penyerahan Sijil Kolaborasi Strategik Program Latihan 1 Malaysia antara pihak penganjur disampaikan bagi mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara semua pihak yang terlibat.
Pada sebelah malamnya diadakan program penyampaian Hamper dan sumbangan Duit Raya kepada anak-anak orang Asli dan ibu bapa orang Asli yang hadir sejurus sahaja selepas majlis berbuka puasa.
Hamper ini adalah sumbangan dari Kolej Komuniti Bentong, manakala Duit Raya pula adalah sumbangan ikhlas dari pihak Perkim Daerah Bentong.
Seterusnya peserta yang hadir bersolat terawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Muda Taufek.
Turut berterawih sama pengarah Kolej Komuniti Bentong, pegawai-pegawai kanan Kolej Komuniti Bentong, ahli-ahli Perkim dan Puspanita, dua orang pegawai dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang dan juga JAKIM dan pelajar Kolej Komuniti Bentong disamping orang Asli.
Janiri Bin Hj Sainan, Pengerusi Perkim Daearh Bentong ketika dihubungi berkata, "Perkim Cawangan Daerah Bentong sentiasa mengambil berat tentang kebajikan saudara-saudara baru selari dengan objektif penubuhan Perkim. Dengan adanya program yang sebegini adalah diharapkan agar kebajikan saudara-saudara baru terbela dan sekaligus mereka akan meraskan bahawa hubungan antara mereka dan orang Islam yang lain adalah bersaudara".
"Adalah diharapkan penglibatan pihak Kolej Komuniti Bentong dalam mengadakan program yang sebegini atau selainnya dapat diteruskan demi kemajuan saudara-saudara baru di Daerah Bentong. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semoga apa yang telah dilaksanakan ini memperolehi keberkatan dari Allah SWT".
Pengarah Program Ihya' Ramadhan kali ini, Siti Aishah Binti Suhairi mengucapkan ribuan terima kasih kepada AJK yang terlibat dalam menjayakan program ini.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih tak terhingga terutamanya kepad En. Janiri Bin Hj. Sainan (Pengerusi Perkim Bentong), En. Abdul Halim Bin Hj. Abdullah (JAKOA Bentong), Datin Munirah Binti Ismail (Pengerusi Puspanita Bentong), Pn Khairuzilah Binti Khalil (Puspanita JPKK), Pn. Noraina Binti Abdul Rahman (Pengerusi Puspanita Kolej Komuniti Bentong), Pn. Hajh. Janiar Binti Jaudin, En. Sayujan Bin Abdul Majid (Penyelia Masjid Bentong) dan semua pihak yang terlibat".
Program Ihya' Ramadhan 2011 kali ini mendapat respon yang positif dari masyarakat orang Asli kerana melibatkan anak-anak muda orang Asli berbuka bersama-sama. Mereka berharap semoga program seperti ini diadakan lagi.
"Nanti buat lagilah program macam ni...saya suka tengok anak-anak muda orang Asli berbuka bersama-sama disini. Harap agensi-agensi lain pun buat jugalah", kata salah seorang warga emas orang Asli yang dikenali sebagai Pak Din, 73.
Dianggarkan seramai 127 orang tetamu yang hadir termasuk Ahli Jawatankuasa program, pelajar Kolej Komuniti Bentong dan semua penduduk Kampung Pareh yang beragama Islam.
Orang Asli yang dijemput hadir ke program ini terdiri daripada orang Asli Kampung Ulu Pareh, Kampung Aji Kubu, Kampung Cinta Manis dan Kampung Sungai Dua Hulu.
Gambar sekitar aktivit:
Suasana sebelum program dimulakan |