Thursday, 10 November 2011

Program Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Daerah Bentong 2011

UNIT PENERANGAN
KOLEJ KOMUNITI BENTONG
BULAN OKTOBER
TAHUN 2011

Disediakan oleh:
Pegawai Penerangan
Unit Penerangan
Kolej Komuniti Bentong

KARAK, 6 Okt - Kolej Komuniti Bentong telah mengadakan Program Ceramah Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Daerah Bentong 2011 disini  bertempat di Dewan Kuliah, Kolej Komuniti Bentong.

Program ini adalah anjuran Unit Penerangan Kolej Komuniti Bentong serta kerjasama dari Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, dan dipengerusikan oleh En. Mohd Zailani Othman dari Pejabat Penerangan Daerah Bentong.

Penyampaian ceramah kali ini berkisarkan tentang "Penguasaan dan Pemantapan Bahasa Kebangsaan" yang disampaikan oleh Prof. Dr. Teo Kok Seong yang didatangkan khas dari Institut Tamadun Alam dan Melayu, UKM.

Tujuan ceramah kali ini antaranya ialah untuk mengajak para peserta untuk mendengar dan memahami pengucapan dengan teliti serta menghayatinya dalam konteks perbualan harian dan situasi formal, meningkatkan kefahaman untuk bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang bertatasusila (beradab) dalam pelbagai situasi.

Selain itu, tujuan ceramah juga adalah untuk meningkatkan penggunaan bahasa baku yang meliputi tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan, dan sebutan yang betul, dan ameningkatkan penghayatan melalui pengamalan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan kewarganegaraan selaras dengan konsep 1Malaysia

Prof. Dr. Teo Kok Seong turut menghuraikan perbezaan antara Bahasa Pasar dengan Bahasa Basahan.

Bahasa Pasar sebenarnya merujuk kepada pelat atau selenga (loghat) orang bukan melayu yang bertutur dalam bahasa Melayu yang tidak pandai berbahasa Melayu contohnya perkataan 'gua', 'lu', iaitu merujuk kepada 'saya' dan 'awak' dalam bahasa Melayu.

Antara contoh bahasa pasar yang diberikan ialah, "Nanti saya belum lantuk lah..gua mau tido", bermaksud "Nanti, saya belum mengantuk, saya hendak tidur". Bahasanya pula kadangkala tidak mengikut tatabahasa melayu sebaliknya menggunakan tatabahasa cina seperti, "Saya adik belum mali", bermaksud, "Adik saya belum datang".

Manakala Bahasa Basahan pula merupakan bahasa yang sering digunakan dan dituturkan oleh penduduk tempatan khususnya orang melayu yang menggunakan perkataan-perkataan yang tidak formal seperti 'Sepuluh Sen' disebut 'Sposen', atau sepatutnya 'Hendak' disebut 'Nak' atau boleh juga disebut sebagai dielek atau loghat daerah.

Prof. Teo juga melahirkan rasa dukacitanya setelah 54 tahun merdeka, orang bukan melayu masih lagi bertutur dalam bahasa pasar.

"Tetapi tuan-tuan dan puan-puan, agak malang juga, kita sudah merdeka 54 tahun, masih rakyat bukan asal negara ini, orang cina orang, india, masih menuturkan bahasa Melayu didalam bentuk bahasa pasar".

"Rata-rata rakyat pergi ke sekolah, bahasa pasar masih wujud..ini lah tidak berapa baik. Bahasa Melayu terus ditutur secara jelek dan rendah sifatnya", tegas Prof. Teo.

Menurut Prof. Dr. Teo juga orang Melayu kebanyakannya menyumbang kepada Bahasa Pasar ini kerana orang Melayu tidak mempunyai ketegasan apabila bertutur, dan seolah-olah tidak berbangga dengan bahasa sendiri. Buktinya apabila orang Melayu berkomunikasi dengan orang cina, orang Melayu pula akan bertutur mengikut Bahasa Pasar orang cina.

Prof. Teo juga berharap supaya bahasa pasar ini dapat dikurangkan setelah 54 tahun merdeka.

"Kalau boleh, kita kurangkan bahasa pasar (dalam perbualan harian)...(kedudukan) bahasa kebangsaan kita ini setelah 54 tahun merdeka... (bahasa kebangsaan) tidak (perlu) wujud sebagai bahasa pasar", pinta beliau.

Prof. Dr. Teo juga turut melahirkan rasa dukacitanya apabila beliau turut menyentuh tentang kepelbagaian etnik dan keizinan yang diberikan oleh pemerintah negara ini tentang kebenaran menggunakan bahasa selain bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular. Sedangkan, menurut beliau, negara-negara lain tidak memberi keizinan seperti ini. Itulah kelebihan negara Malaysia jika dibandingkan dengan lain-lain negara.

Beliau sempat berkata, "Apa yang tidak cukup saya pun tidak tahu". Ia berikutan dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menuntut sesuatu yang pada perkiraannya adalah tidak wajar dituntut.

Kupasan lanjut mengenai program ceramah ini pihak Unit Penerangan Kolej Komuniti Bentong akan berusaha untuk memuat-naikkan ceramah berkenaan ke Youtube sedikit masa lagi.

Setelah tamat sesi ceramah, aturcara penyampaian hadiah berlangsung dan hadiah telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat, En. Suhairi Bin Ismail, turut diiringi oleh Puan Sharmili Mohd Rafi (Pegawai Latihan Industri) kepada Prof. Dr. Teo Kok Seong.

Program ini telah dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli, agensi-agensi kerajaan Daerah Bentong termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, JKR Bentong, PPD Bentong, Pejabat Penerangan Bentong, JAKOA Bentong, dan parti politik termasuk UMNO, MCA dan MIC, guru-guru sekolah pelbagai aliran vernakular, dan orang-orang kampung.
 
Peserta ceramah juga terdiri daripada kakitangan Kolej Komuniti Bentong iaitu dari kakitangan akademik dan juga pentadbiran.

Manakala program ini telah dikelola oleh Pegawai Penerangan, penyelaras Unit Penerangan, Puan Nazila Binti Masdor, Cik Norliana Binti Rusli.


Lampiran Gambar Sepanjang Aktiviti:

En. Suhairi Ismail (Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat) beramah-mesra dengan Prof. Dr. Teoh Kok Seong di bilik menunggu


Program dipengerusikan oleh En. Zailani Othman dari Pejabat Penerangan Bentong, Pahang

Peserta yang hadir - kelihatan pelajar sekolah menengah SMK Karak darikalangan orang Asli

Prof. Dr. Teo Kok Seong menyampaikan ceramahnya


Barisan VIP yang hadir

Prof. Teo Kok Seong

Prof. Teo memerhatikan kesalahan tatabahasa dalam sampel surat

Prof. Teo Kok Seong membacakan contoh kesalahan tatabahasa

Kanan sekali ialah En. Hamdan (JAKOA Bentong), Tok Empat Kg. Baru Karak (Wakil MCA Bentong), dan juga Penolong Pegawai Daerah Bentong (No. 3 dari kanan)

Slot video Program Latihan 1 Malaysia yang disediakan oleh pelajar STM (Sijil Teknologi Maklumat)

No comments:

Post a Comment